suria

Najib Nyatakan Pendirian Malaysia Kepada Presiden Palestin

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak meleretkan kad perkhidmatan bas percuma sambil diperhatikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis pelancaran perkhidmatan bas percuma bandaraya Johor Baharu di Persada Johor Baharu pada Rabu.

JOHOR BAHARU: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu menyatakan pendirian Malaysia untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin kepada presidennya Mahmoud Abbas.

Pendirian itu disampaikan oleh Perdana Menteri menerusi panggilan telefon kepada Mahmoud pada pukul 5.55 petang tadi.

Dalam perbualan selama 10 minit itu, Najib memberitahu Mahmoud bahawa kerajaan dan rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin sehingga perjuangan mereka berjaya.

"Dalam perbualan itu, saya nyatakan Malaysia merupakan antara negara yang kuat menyokong perjuangan Palestin," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini.

Najib berkata beliau turut menyatakan pendirian tegas Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

"Dalam apa jua keadaan, Malaysia berdiri teguh menyokong perjuangan Palestin sehingga perjuangan mereka selesai," katanya.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Najib berkata sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin itu tidak hanya datang daripada seluruh umat Islam tetapi juga daripada pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

"Walaupun ada dalam kalangan pemimpin pembangkang yang kata bahawa kita patut mempertahankan hak Israel untuk mempertahankan diri tapi bagi kerajaan pimpinan Barisan Nasional, kita tetap mengutamakan hak dan kedaulatan rakyat Palestin," katanya.

Beliau turut menyifatkan serangan Israel sebagai respons tidak seimbang kerana bentuk serangan yang disasarkan kepada mangsa secara khusus dengan menggunakan senjata canggih.


Najib, Johor, Palestin, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain