suria

Akibat Peras Ugut Penjual Besi Dipenjara 8 Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang penjual besi dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana melakukan peras ugut terhadap empat peniaga.


Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Ramesh, 28, selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkap iaitu pada 20 Mac lepas.

Mohd Rehan memerintahkan Ramesh menjalani hukuman penjara selama dua bulan untuk setiap pertuduhan dan ia berjalan secara berasingan.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap tertuduh setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan kepada pegawai polis untuk pemeriksaan ketika berada di Kopitiam Ve Chat, pada 6.30 pagi, 15 Mac lepas.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Ramesh dituduh dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Wong Thiam Huat, 44, dan Chin Yau Kuin, 34, dengan menyatakan bahawa keselamatan diri dan perniagan mereka akan terancam.

Berikutan pemerasan itu Wong menyerahkan wang tunai RM200 manakala Chin menyerahkan RM300 kepada Ramesh.

Bagi kesalahan pertama dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Wong di Restoran Eighty House Claypot, pada 11.30 pagi, 13 Mac lepas manakala pertuduhan kedua di Restoran Fu Wah, pada 7 malam, tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Ramesh dituduh bersama-sama tiga lagi yang masih bebas melakukan pemerasan yang sama kepada Yap Swee Fun, 54, hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM500 di Kedai Makanan dan Minuman Yu Lek, 8.30 pagi, 15 Mac lalu.

Pertuduhan keempat pula, dia didakwa bersama-sama enam yang masih bebas melakukan kesalahan sama terhadap Mun Chee Sum, 45, dan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai di Kopitiam Ve Chat, pada 6.30 pagi, 15 Mac lalu.

Kesemua kedai terbabit terletak di Jalan 2 Taman Len Sen, Cheras.

Bagi pertuduhan pertama, kedua, dan ketiga Ramesh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau didenda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Bagi pertuduhan keempat, Ramesh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau didenda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman.


penjual besi, penjara, peras ugut

Artikel Lain