suria

Minyak Diesel Bernilai RM4,600 Dirampas

GEORGE TOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Bunga, di sini Selasa.

Timbalan Ketua Penguatkuasanya, Johary Yakob, berkata hasil maklumat awam dan intipan sejak seminggu lepas, sepasukan anggota menahan sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda yang sedang diisi diesel pada pukul 7 petang Selasa.

"Bertindak atas maklumat, penguatkuasa kami bersama polis menyerbu stesen minyak berkenaan dan mendapati dua kenderaan sedang diisi diesel, bagaimanapun pemandunya melarikan diri selepas menyedari kehadiran kami," katanya kepada pemberita, di sini Rabu.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati 2,300 liter diesel bersubsidi dalam tangki tambahan yang diletakkan di bahagian belakang lori dan pacuan empat roda berkenaan.

"Tangki tambahan itu ditutup menggunakan kanvas dan dipasang di ruang meletak barang dalam lori dan pacuan empat roda berkenaan. Terdapat saluran khas menghubungkan tangki utama lori ke tangki simpanan.

"Dua kenderaan itu masing-masing telah mengisi 1,200 liter dan 1,100 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM4,600," katanya.

Johary berkata berdasarkan siasatan awal, kesemua diesel itu dikumpulkan sebelum dibawa ke sempadan oleh pemborong dan sindiket berkenaan boleh mengaut keuntungan sehingga RM400 bagi setiap tangki berkenaan.

diesel, dirampas, PPDNKK, Pulau Pinang

Artikel Berikut

Tragedi Balik Kampung

Artikel Lain