suria

Pengarah Filem Mamat Khalid Rugi Hampir RM100,000 Rumah Dimasuki Perompak

Mamat Khalid
IPOH: Pengarah filem Mohammad Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Mamat Khalid kerugian hampir RM100,000 apabila tiga perompak memecah masuk kediamannya pada Rabu dan melarikan pelbagai barangan termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda dan kamera antik milik pengarah itu.

Isteri Mamat, Hasmah Hassan, 50, atau lebih dikenali sebagai Intan berkata kejadian itu disedari beliau pada pukul 6.30 pagi Rabu ketika bangun tidur untuk menunaikan solat Subuh.

"Daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perompak dilihat telah umpil tingkap bahagian tepi rumah dan masuk ke dalam rumah. Mereka melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, kamera antik milik Mamat Khalid, Ipad, gajet mainan mudah alih (PSP) dan wang tunai RM500.

"Kerugian dianggarkan hampir RM100,000," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Lebuh Hillview, Taman Ipoh Jaya Timur, di sini, malam Rabu.

Hasmah Hassan menunjukkan almari hiasan yang pecah dalam kejadian rompakan di rumah mereka di Lebuh Hillview Taman Ipoh Jaya, awal pagi Rabu. - fotoBERNAMA

Menurut Hasmah, sejurus memasuki rumah, penjenayah itu mengambil kunci pintu utama rumah dan pagar serta kunci kenderaan tersebut yang disimpan dalam mangkuk di atas piano berhampiran pintu utama rumah.

Katanya ketika kejadian beliau berada di rumah bersama dua anaknya iaitu Mohd Khalid Adam, 19, dan Nurhassanah, 14, manakala Mamat Khalid sedang menjalankan penggambaran filem di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah, Tanjung Malim.

Katanya beliau telah buat laporan di Balai Polis Kampung Rapat pada pukul 11 pagi Rabu.

Siasatan polis tidak menjumpai sebarang kesan cap jari namun beliau telah menyerahkan rakaman CCTV dalam bentuk cakera padat untuk siasatan lanjut pihak polis, katanya.
Mamat Khalid, dirompak, RM100, 000

Artikel Lain