suria

Jenazah Pelajar Malaysia Selamat Tiba Di KLIA

SEPANG: Jenazah pelajar Malaysia, Ummi Nadiah Filzah Daud, yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Miri, Universiti Iskandariah, Mesir Ahad lalu, selamat tiba di tanah air. 

Jenazahnya yang tiba di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira jam 6 petang Rabu dibawa keluar menaiki van jenazah tepat jam 7.30 malam diiringi keluarga dan pegawai daripada Kementerian Pendidikan dan Wisma Putra. 

Beliau adalah salah seorang daripada enam penuntut Malaysia di Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah, Mesir terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Borg El, Mesir untuk kembali ke tanah air, pada 4 Jun lalu. 

Ummi Nadiah Filzah mengalami pendarahan dalaman, Siti Shahirah Abdul Jalil (patah tangan dan rahang), Fatin Inani Mohd Noh (patah rahang) dan Siti Nurul Aisyah Zahari (patah tangan) manakala dua lagi, Najihah Najwa Zulkifli serta Nuraddina Khairunaha, cedera ringan. 

Difahamkan, jenazahnya akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Bandar Tasik Putri, Rawang, Selangor dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Putri, Rawang, selepas solat Isyak. 

Artikel Lain