suria

Nurul Izzah Nafi Mohamad Salleh Tidak Amanah, Tamak & Guna Wang Rakyat

Nurul Izzah Anwar.
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menafikan Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail seorang yang tidak amanah, tamak dan menggunakan wang rakyat untuk meraih kekayaan peribadi dan menjalani kehidupan mewah. 

Nurul Izzah menerusi pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 24 Jan lepas berkata beliau tidak pernah mengatakan bahawa syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) bersekongkol dengan Mohamad Salleh untuk menipu atau menyalahgunakan wang rakyat.

Katanya kenyataan berhubung pembelian lapan unit kondominium itu dibuat berdasarkan bukti kukuh yang diperoleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli yang mendedahkan isu penyelewengan dana awam bagi projek NFC telah disalahgunakan bagi kepentingan peribadi Mohamad Salleh dan keluarganya. 

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 27 Jan lepas berkata kenyataan Nurul Izzah merupakan komen yang wajar dalam isu kepentingan awam dan berdasarkan fakta-fakta yang dibuat dalam keadaan perlindungan bersyarat.

Media memperoleh pernyataan pembelaan itu daripada peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili Mohamad Salleh ketika kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng, di sini, Khamis.

Wan Shahrizal ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk pengurusan kes itu.

Pada 24 Dis tahun lepas, Mohamad Salleh, yang juga Pengerusi Eksekutif NFCorp dan syarikatnya itu memfailkan saman terhadap Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan berhubung pendedahan Pengarah Strategik PKR Mohd Rafizi Ramli yang menyatakan beliau (Mohamad Salleh) membeli lapan unit kondominium di KL Eco City menggunakan dana awam yang disalurkan kepada NFCorp.

Beliau menuntut satu perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang kesemua defendan menerbitkan kata-kata fitnah yang sama terhadapnya selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain