suria

Adun Likas Dirujuk Ke Jawatankusa Hak & Keistimewaan

Junz Wong.
KOTA KINABALU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)Likas daripada DAP, Junz Wong akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan kerana berbohong semasa persidangan DUN Januari lalu.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan serta bukti yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang membawa usul tersebut.

 
"Saya berpuas hati bahawa perkara ini benar-benar menjejaskan hak dan kebebasan Dewan dan bersetuju YB (Yang Berhormat) Likas dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan," katanya.

Terdahulu dalam persidangan DUN hari ini, Pairin (BN-Tambunan) berkata walaupun Wong meminta maaf terhadap pembohongannya, 'kerosakan' yang dilakukan Wong demi kepentingan politiknya sudah berlaku. 

Sehubungan itu katanya, Wong harus dirujuk ke jawatankuasa berkenaan mengikut Peraturan Tetap 90 (5) iaitu tidak membenarkan mana-mana Adun berbohong di dalam Dewan. 

Pada Januari lalu, Wong membangkitkan isu keselamatan di Sabah dan mengaitkannya dengan kes seorang remaja perempuan berusia 19 tahun cedera selepas dirompak di pusat membeli-belah Suria Sabah.

Bagaimanapun, gadis itu kemudian tampil menafikan kenyataan Wong dan memberitahu media bahawa kecederaan yang dialaminya adalah akibat perbuatan sendiri selain berkata dia dipujuk oleh Wong untuk membuat laporan polis.

Perkara itu kemudian dibuktikan menerusi salinan laporan polis yang dibuat oleh gadis tersebut. 


Artikel Lain