suria

SPAD Perlu Ambil Tindakan Syarikat Bas Gaji Pemandu Tidak Bertanggungjawab

Abdul Aziz Kaprawi.

MELAKA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat bas yang menggaji pemandu tidak bertanggungjawab bagi mengelak kemalangan maut.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, syarikat bas perlu membuat penelitian rapi terhadap pemandu mereka agar keselamatan penumpang terjamin.

"Biasanya bas berada dalam keadaan baik tetapi kecuaian serta kelemahan pemandu yang mengakibatkan kemalangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan kursus asas pegawai penguatkuasa gred N41 dan pembantu penguatkuasa gred N17 di Akademi Pengangkutan Jalan di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengesahan Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohamad Nor pada Rabu berhubung pemandu bas terlibat dalam kemalangan maut di Km11, Jalan Bentong-Raub Sabtu lepas didapati positif dadah.

Dalam kemalangan pada 12.30 malam itu, bas ekspres Transnasional dua tingkat yang membawa 68 orang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu, Kelantan dilaporkan terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik.

Nahas itu mengorbankan pasangan suami isteri Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, warga Somalia, 31; dan Zarifah Alias, 26, dari Kota Baharu; serta Suhaisam Che Abdullah, 33, dari Batang Kali, Selangor.

Artikel Lain