suria

MH370: India Pergiat Pencarian, Bangladesh Sertai Misi

NEW DELHI: India terus mempergiat usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan menggerakkan lebih banyak aset laut dan udaranya ke kawasan pencarian yang diperluaskan di tengah dan timur Teluk Bengal.

Usaha mencari hari ketiga itu disertai dua pesawat Peronda Maritim Jarak Jauh P8I yang baru dibeli milik Tentera Laut India dan sebuah pesawat C 130 J milik Tentera Udara India di Teluk Bengal dan Laut Andaman.

Turut menyertai misi pencarian ialah Bangladesh .

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan pada Sabtu, pesawat Dornier Peninjau Maritim Jarak Dekat milik Tentera Laut India dan Pengawal Pantai India juga digemblengkan untuk operasi mencari itu.

Enam kapal (masing-masing tiga kapal daripada Tentera Laut India dan Pengawal Pantai India) dihantar mengikuti operasi itu, dengan Kapal Kesari dan Kapal Saryu milik Tentera Laut India meneruskan usaha pencarian sebagai sebahagian daripada Kumpulan Antarabangsa di Laut Andaman.

Selain daripada kapal Kanaklata Barua dan kapal Bhikaji Cama milik Pengawal Pantai di Laut Andaman, CGS Sagar juga telah diberi tanggungjawab untuk menjalankan pencarian itu di Selat Melaka.

Pemerintah Tentera Laut Timur India juga menyediakan pesawat termasuk P8I untuk operasi mencari di Teluk Bengal. 

Selain itu, beberapa kapal dan pesawat juga diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk membantu pencarian itu. 

Setakat ini, unit berkenaan tidak mengesan apa-apa, kata kementerian itu.

Sebagai perkhidmatan utama, Tentera Laut India sentiasa berhubung dengan Pusat Operasi Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia untuk menyelaraskan usaha pencarian pelbagai negara yang melibatkan 14 negara, 45 kapal dan 60 pesawat.

Tentera Laut India telah menyelaras kawasan lebih 2,50,000 kilometer per segi di Laute Andaman dan Teluk Bengal, dan akan meneruskan operasi itu.

india, mh370

Artikel Lain