suria

Keluarga Penumpang MH370 Sedia Terima Apa Jua Hakikat

Noraini berkata beberapa keluarga dan kru penerbangan itu yang ditempatkan di Hotel Everly, Sepang menyatakan mereka sudah bersedia menerima apa juga kemungkinan.

PUTRAJAYA:  Selepas lima hari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dilapor hilang tanpa kesan, beberapa keluarga dan kru penerbangan itu yang ditempatkan di Hotel Everly di sini menyatakan mereka sudah bersedia menerima apa juga kemungkinan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datuk Noraini Mohd Hashim kepada pemberita selepas melawat keluarga terbabit di hotel berkenaan, Khamis.

"Ada juga yang mahu pulang ke rumah kerana anak-anak lain juga memerlukan mereka.

"Kalau mereka mahu pulang kita tidak boleh halang sebab itu keinginan mereka. Kita kena hormat keputusan mereka," katanya.

Sebanyak 107 orang daripada 38 keluarga ditempatkan di hotel itu sejak 9 Mac lepas bagi mengikuti perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat MH370, selain turut menerima khidmat kaunseling dan sokongan moral daripada kaunselor JKM dan sukarelawan pelbagai pertubuhan.

Menurut Rohani, JKM juga menghantar kaunselor untuk memberi khidmat kaunseling kepada sebuah keluarga di Ipoh, Perak yang tidak mahu datang ke sini kerana ingin bersama anggota keluarga lain.

Pada awal Sabtu lepas, pesawat MAS Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing dilapor hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari keenam hari ini masih gagal mengesan pesawat itu. Operasi disertai oleh 42 kapal dan 39 pesawat membabitkan 12 negara.

MAS, JKM, MH370

Artikel Lain