suria

Penguatkuasa JPJ Mengaku Tidak Bersalah Minta Rasuah

Anggota penguatkuasa JPJ, Subri Baharom, 56, (kiri) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meminta dan menerima suapan bernilai RM1,000 pada November 2012.
Anggota penguatkuasa JPJ, Subri Baharom, 56, (kiri) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meminta dan menerima suapan bernilai RM1,000 pada November 2012.
Anggota penguatkuasa JPJ, Subri Baharom, 56, (kiri) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meminta dan menerima suapan bernilai RM1,000 pada November 2012.

ALOR SETAR: Seorang anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan meminta dan menerima suapan RM1,000 pada 2012.

Subri Baharom, 56, minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Penguatkuasa JPJ di Langkawi ketika kejadian, didakwa menerima suapan RM1,000 daripada Muhammad Shafiq Shaarani sebagai dorongan untuk melepaskan kereta Perodua Kancil milik lelaki itu yang ditahan atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira 12.40 tengah hari pada 28 Nov 2012 berhampiran kiosk makanan bersebelahan Maybank Berhad di Kuah, Langkawi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meminta rasuah RM1,000 daripada Muhammad Shafiq kira-kira 11.10 pagi pada tarikh yang sama di tempat letak motosikal dalam perkarangan JPJ Cawangan Langkawi.

Bagi pertuduhan pertama, Subri didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 16(a)(B) akta sama yang kedua-duanya membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa daripada SPRM Syahrul Khuzaini Amiruddin menawarkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Subri yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah untuk dikurangkan jaminan itu.

Hakim Mohd Rosli menetapkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua kes dan 12 Mac depan bagi sebutan semula kes, penyerahan dokumen dan untuk tertuduh melantik peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Digilis Kereta Api

Artikel Lain