suria

KKM Perkenal Tiga Kaedah Baharu Tangani Wabak Denggi - Subramaniam

KAJANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan tiga kaedah baharu bagi membendung penyebaran wabak denggi, kata menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata kaedah yang akan digunakan bermula minggu ini, ialah semburan ruang 'Bacillus thuringiensis israelensis (Bti) bagi membunuh jentik-jentik (larva) nyamuk, semburan 'temephos' (Abate 500E) bagi membunuh larva dan nyamuk dewasa serta perangkap 'autocidal' yang memerangkap nyamuk dan membunuh larva.

Katanya kaedah tersebut akan dilaksanakan di daerah Petaling, Selangor iaitu kawasan yang mencatat jumlah kes denggi tertinggi di Selangor sepanjang tahun lepas.

"Sepanjang tahun lepas, sebanyak 43,346 kes denggi dilaporkan di seluruh negara di mana Selangor menyumbangkan 55 peratus (23,852 kes), daerah tertinggi di Selangor ialah Petaling iaitu 22 peratus," katanya dalam sidang media selepas lawatan di kawasan 'panas' denggi di sekitar Pasar besar Kajang di sini, Jumaat.

Subramaniam berkata bagi tempoh 1 hingga 22 Jan lepas sejumlah 6,155 kes demam denggi dilaporkan yang membabitkan 10 kematian iaitu peningkatan sebanyak 4,363 kes atau 243 peratus berbanding hanya 1,792 kes tahun lepas dengan lima kematian.

Dari jumlah tersebut, Selangor mencatatkan sebanyak 3,168 kes iaitu 51 peratus, daerah Hulu Langat menyumbang 15 peratus atau 936 kes dengan dua kematian, katanya.

Mengenai jumlah premis diperiksa dari 1 Jan hingga kini, beliau berkata sebanyak 168,413 premis telah diperiksa dan sebanyak 411 kompaun yang berjumlah RM205,500 telah dikeluarkan terhadap premis yang membiak Aedes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain