suria

Soi Lek, Tiong Lai Perlu Beri Penjelasan Kepada Anggota MCA - Gan

KUALA LUMPUR: MCA berisiko berdepan krisis integriti yang belum pernah dialaminya sebelum ini yang bakal memburukkan lagi imejnya jika pemimpin parti yang terlibat dalam perjanjian damai enggan menyelesaikannya, kata bekas naib presiden parti Gan Ping Sieu.

Beliau mengingatkan bahawa kini kesahihan pemilihan parti 21 Disember lepas dan barisan pemimpin baharu turut dipersoalkan, ekoran pendedahan oleh presiden sebelum ini Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa perjanjian dimeterai dengan penggantinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, telah dilanggar.

Kontroversi terbaru yang melanda parti juga akan menghalang proses pemulihan parti dan perjuangannya untuk mendapatkan semula keyakinan orang ramai, katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

"Kedua-dua mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan kepada anggota parti dan perwakilan pusat (mengenai perjanjian). Liow tidak sepatutnya mengelak isu ini," katanya.

Menurut Gan, mereka juga perlu mendedahkan kandungan perjanjian itu, termasuk pihak-pihak yang terbabit dalam mengatur perancangan itu.

Minggu lepas, Chua mendakwa Liow telah melanggar perjanjian yang dimeterai sebelum pemilihan parti, dengan Liow dikatakan bersetuju untuk melantik orang Chua memegang beberapa jawatan penting dalam parti sebagai pertukaran kepada sokongan Chua dan kumpulannya.

Gan, yang bertanding jawatan presiden tetapi tewas tipis kepada Liow, berkata beliau benar-benar kecewa dengan pendedahan Chua.

"Saya juga kecewa dengan Liow. Kenapa beliau perlu memeterai perjanjian seumpama itu? Jika ini menjadi amalan yang boleh diterima, dengan itu di masa depan kita tidak perlu adakan pemilihan," katanya.

Dalam respons segera kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Presiden MCA di Wisma MCA, Liow berkata kesahihan pemilihan parti tidak timbul kerana ia diadakan secara telus dan demokratik.

"Saya harap semua orang hormati keputusan pemilihan dan, tolong, jangan perlekeh keputusan perwakilan pusat," katanya.

Liow berkata beliau akan fokus kepada usaha melakukan transformasi parti daripada menumpukan kepada perjanjian pelan damai itu, yang menurutnya, sudah berlalu, dan menggesa semua pemimpin dan anggota parti bersama-sama memajukan parti.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata Majlis Presiden juga bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Institusi Pengajian Tinggi MCA untuk menyelaraskan kursus-kursus ditawarkan oleh Universiti Tunku Abdul Rahman dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Liow berkata MCA juga akan mengadakan rumah terbuka Tahun Baharu Cina di ibu pejabatnya di sini pada 31 Januari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain