suria

Kerajaan Sedang Kenal Pasti Sekolah Laksana PPPM

SEREMBAN: Kerajaan sedang mengenal pasti sekolah-sekolah yang telah melaksanakan intipati dan dasar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, bagi melihat bagaimana pihak sekolah mempraktikkannya.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, langkah itu penting untuk kerajaan menilai keberkesanan pelan tersebut dalam membawa transformasi pendidikan negara.

"Buat masa ini, usaha akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam mengenal pasti semua sekolah seperti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chan Wa, Seremban ini yang merupakan sekolah kedua melaksanakan dasar dalam PPPM.

"Namun begitu, saya meletakkan kepercayaan ke atas semua sekolah lain yang mempunyai anjakan untuk mengikuti dan melaksanakan inisiatif menerusi pelan tersebut," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di SMJK(C) Chan Wa, di sini, Jumaat.

Katanya, PPPM yang diwujudkan kerajaan bagi membina sistem pendidikan terbaik merupakan satu pelan yang amat komprehensif, merangkumi semua aspek pendidikan arus perdana.

Katanya, bagaimanapun bagi memastikan pelan itu mencapai objektif yang digariskan, semua pihak yang terlibat seperti sekolah, guru dan ibu bapa sendiri perlu berkerjasama memastikan kejayaannya.

"Pendidikan bukan sahaja di bawah tanggungjawab kementerian semata-mata tetapi juga tanggungjawab bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ahli-ahli komuniti kerana kita memerlukan sokongan dari semua lapisan masyarakat dalam membangunkan sistem pendidikan di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Yap berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk mengetahui permasalahan yang mungkin dihadapi di sekolah.

"Kementerian akan berusaha ke arah itu kerana bagi saya ia sangat penting untuk kita mengetahui apakah masalah serta kekangan yang dihadapi di peringkat bawahan iaitu sekolah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain