suria

MKN Beri Amaran Tiga Negeri Siap Sedia Hadapi Gelombang Kedua Banjir

KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan berakhirnya gelombang pertama kejadian banjir pada Rabu, namun pihaknya memberi amaran kepada tiga negeri supaya bersiap sedia menghadapi gelombang kedua yang dijangka berlaku bermula Jumaat hingga Isnin depan.

Dalam satu kenyataan, MKN berkata Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran gelombang kedua hujan monsun, dan kawasan yang dijangka terjejas ialah Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Segamat serta Mersing).

"Mereka yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan agar bersiap sedia dan tidak menunggu hingga saat akhir apabila mereka diminta berpindah, ibu bapa juga dinasihatkan agar memerhatikan anak mereka. Keutamaan juga harus diberikan kepada wanita hamil dan tua.

"Mereka sepatutnya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Mereka juga boleh melayari laman web, portalbencana.mkn.gov.my/Portal untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai banjir yang berlaku di seluruh negara atau menghubungi Pusat Kawalan Bencana Kebangsaan di talian 03-8064 2400," menurut kenyataan itu.

Ia turut mengesahkan dalam usaha membantu MKN mengagihkan bantuan dan kemudahan, setiausaa negeri dan pegawai daerah yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana telah diarahkan untuk membuat persediaan yang perlu dalam menghadapi kemungkinan banjir kilat yang dijangka berlaku hujung minggu ini.

"Aset pengurusan bencana daripada negeri lain akan dipindahkan ke Terengganu, Pahang dan Johor," menurut kenyataan itu.

Artikel Lain