suria

Hospital Swasta Tidak Boleh Naikkan Caj Sewenang-Wenangnya: Dr Hilmi

KUALA LUMPUR: Kos rawatan hospital swasta dikawal oleh kerajaan menerusi Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 2006, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Katanya berpandukan peraturan itu, hospital swasta tidak boleh menaikkan kos rawatan dengan sewenang-wenangnya.

"Sekiranya ada sebarang rungutan, pesakit boleh membuat aduan kepada kementerian," katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Yunus Kurus di Dewan Negara, Khamis.

Yunus meminta penjelasan mengenai garis panduan terkini berhubung kos rawatan hospital swasta berikutan banyak dakwaan berhubung caj rawatan yang dikenakan melambung tinggi.

Terdahulu menjawab soalan asal Yunus, Dr Hilmi berkata kerajaan memperuntukkan RM54 juta kepada kementerian untuk melaksanakan pendidikan kesihatan kepada rakyat.

Beliau berkata menerusi pendidikan kesihatan itu kementerian membuat pelbagai program bagi menggalakkan rakyat mengamalkan cara hidup sihat, antaranya menerusi pengedaran risalah dan kempen kesihatan kepada pelajar sekolah.

"Bagi mengekang kos rawatan dan perubatan kesihatan yang meningkat setiap tahun, kementerian mengambil pendekatan pencegahan penyakit oleh kerana kos rawatan bagi penyakit seperti kanser dan jantung adalah tinggi," katanya.

"Kempen-kempen yang dijalankan adalah seperti Program 'Communication for Behavioural Impact' (COMBI), pelaksanaan Program Komuniti Sihat, Perkasa Negara (KOSPEN), memperkenal pusat-pusat promosi kesihatan komuniti dan program Doktor Muda bagi murid sekolah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain