suria

Mas Ermieyati Mahu Puteri Bawa Suara Rakyat & Akar Umbi Dalam Perbahasan

Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR: Anggota Pergerakan Puteri Umno yang terpilih mengambil bahagian dalam perbahasan diminta menyuarakan keluhan, pandangan dan permintaan masyarakat dan akar umbi dalam ucapan masing-masing.

Ketua Puteri Umno yang baharu Mas Ermieyati Samsudin melahirkan harapan itu kepada 13 jurucakap yang dipilih pergerakan itu termasuk yang pertama kali ditampilkan untuk membahaskan isu politik, ekonomi, agama, pendidikan dan ucapan dasar, esok.

"Saya harapkan mereka (jurucakap) akan jadi jambatan antara parti dengan masyarakat di luar sana. Pada yang pertama kali berucap, jangan takut," katanya kepada Bernama, sambil menambah buat julung kalinya seorang wakil mahasiswa dijemput mengambil bahagian dalam perbahasan.

Bagi menjadikan penyampaian lebih baik, Mas Ermieyati, yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah, berkata selain membuat penyelidikan, mereka juga boleh menyuntik elemen lawak dan jenaka agar para perwakilan tidak bosan.

"Bukan bermaksud untuk menjadi "pak lawak" atas pentas, penyampaian yang bersahaja sambil menyelitkan unsur jenaka dapat menghidupkan suasana selain meninggalkan kesan di hati para perwakilan yang terdiri daripada orang-orang muda," katanya.

Beliau berkata mereka diberi kebebasan untuk mengutarakan sebarang isu berkaitan selaras dengan konsep terkebukaan yang diamalkan Umno.

Ditanya mengenai persiapan beliau, Mas Ermieyati yang menerajui Puteri Umno selepas menang pada pemilihan sayap itu pada Oktober lalu berkata :"Saya buat perbincangan dengan pemimpin parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pensyarah untuk mendapatkan input serta maklumat supaya ucapan saya nanti hebat".

Katanya beliau dan kepimpinan pergerakan itu harus membuktikan kepada para perwakilan bahawa mereka tidak membuat pilihan yang salah semasa pemilihan Puteri Umno Oktober lepas.

"Kita baru mengemudi Puteri Umno tak sampai dua bulan tapi saya lihat kesungguhan dan komitmen semua exco yang dipilih...saya percaya mereka mampu mengutarakan yang terbaik untuk membantu Umno.

Persidangan Puteri Umno akan membuka tirai esok serentak dengan pergerakan Pemuda dan Wanita selepas dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini. Mas Ermieyati berkata seramai 902 perwakilan dipilih untuk hadir ke persidangan Puteri Umno kali ini manakala kira-kira 3,000 anggota Puteri lain dijangka akan hadir sebagai pemerhati.

Mengenai tanggapan segelintir pihak bahawa Puteri Umno merupakan golongan elit dan ekslusif, Mas Ermieyati berkata beliau tidak menolak tanggapan itu, sebaliknya menganggap ia satu cabaran yang perlu ditangani dalam usaha menarik lebih ramai anggota sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14.

"Apapun keadaan kita kena pandai sesuaikan diri. Saya sendiri misalnya seorang anak kampung tapi saya cuba untuk masuk ke dalam semua kumpulan," katanya.

Mas Ermieyati berkata sehingga kini pergerakan itu mempunyai 368,481 anggota dan meletakkan sasaran untuk meningkatkan keanggotaan pergerakan itu kepada 500,000 orang menjelang pemilihan parti akan datang. -BERNAMA

Artikel Lain