suria

Kementerian Pertahanan Pandang Serius Isu Intip Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memandang serius dakwaan bahawa Singapura terbabit dalam kegiataan mengintip Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata perbuatan sedemikian bukan sahaja menyentuh soal maruah, malah turut menjejas kedaulatan negara.

"Saya tidak menafikan kemampuan Singapura untuk melakukan risikan dan pengintipan sedemikan rupa. Ia bukan sesuatu perkara yang baru.

"Pihak kita juga memiliki kemampuan yang sama. Namun, kita tidak tergamak melakukan risikan dan pengintipan terhadap sahabat dan negara terutama (bila) ia menyentuh soal maruah dan kedaulatan sesebuah negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Hishammuddin berkata Malaysia mempunyai pegangan, prinsip, keikhlasan dan nilai yang boleh dipercayai dalam menjalin, memelihara dan mengukuhkan hubungan sesama negara jiran dan rakan serantau.

Beliau menyifatkan sebagai tepat tindakan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, bagi memberi penjelasan berhubung dakwaan itu.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan maklum balas berhubung hasil pertemuan tersebut.

"Sekiranya benar Singapura melakukan pengintipan ke atas Malaysia, saya melihatnya sebagai satu tindakan yang serius, tidak beretika dan langsung tidak mengambil kira hubungan keselamatan dan keamanan yang terjalin antara kedua-dua negara dan serantau," jelas beliau.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata Kementerian Pertahanan akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini berhubung soal keselamatan kepada pucuk pimpinan negara.

Sebuah portal berita melaporkan mengenai dokumen rahsia yang dibocorkan oleh pemberi maklumat Amerika Syarikat, Edward Snowden, yang mendedahkan bahawa Singapura membantu kumpulan perisikan yang didakwa terbabit dalam aktiviti mengintip di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain