suria

ATM Ubah Dasar Pendidikan, Mantapkan Akademik & Perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengubah dasar pendidikannya supaya sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata ia akan dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun dengan berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

"Pelan itu akan memberi impak dari segi penumpuan pendidikan yang memberi fokus kepada akses pendidikan yang berkualiti.

"ATM telah mengambil langkah dengan memfokus kepada pembentukan modal insan secara keseluruhan melalui budaya pembelajaran sepanjang hayat berlandaskan 'knowledge-based force' atau K-Force," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Program Pembangunan Minda ATM di Auditorium Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini Rabu.

Zulkifeli berkata K-Force akan memberi peluang kepada warga ATM untuk meningkatkan pengetahuan akademik dan memiliki kemahiran pelbagai.

Pada masa sama, ia akan memperkasa akademik dan perkhidmatan mereka menerusi peningkatan taraf intelektual yang akan menjadikan ATM sebagai sebuah organisasi pembelajaran yang disegani.

Zulkifeli juga mengumumkan kerajaan pusat telah bersetuju memberi peruntukan secara 'one-off' kepada ATM untuk meneruskan program pengajian separuh masa di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan program K-Force.

Sementara itu, penerima anugerah Dekan bagi program K-Force, Diploma Pengurusan di Unitar International University, Komander Kamalruzaman Zainul Akhmar, 42, yang berjaya memperoleh CGPA tertinggi iaitu 3.83 pada Jun dan 3.88 pada September tahun lepas, mengucapkan rasa kesyukuran.

"Saya tidak menyangka akan menperoleh keputusan ini walaupun bekerja sambil belajar. Ini kerana keluarga dan pegawai atasan saya sentiasa memberi sokongan penuh untuk meneruskan pengajian.

"Waktu kuliah saya adalah pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jadi ia tidak menganggu fokus saya terhadap pembelajaran walaupun bekerja. Jika pandai bahagikan masa, Insya-Allah semua boleh diaturkan," katanya yang kini bertugas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM), di Kota Kinabalu, Sabah.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud. - BERNAMA

Artikel Lain