suria

Semua Jawatan Dalam Pemilihan Umno Diisi, Tumpuan Beralih Kepada Kekosongan Naib Ketua Pemuda

KUALA LUMPUR: Selepas senarai muktamad pemenang bagi semua jawatan dalam pemilihan Umno diumumkan, tumpuan kini beralih kepada jawatan naib ketua Pemuda yang masih belum diisi.

Kekosongan jawatan yang timbul berikutan terdapat sedikit keraguan dalam keputusan di tiga bahagian ketika pemilihan sayap itu 12 Oktober lepas, yang memasuki hari kesepuluh hari ini hanya akan dimuktamadkan selepas bahagian terbabit melaksanakan pemilihan semula Rabu ini.

Pemilihan semula secara serentak itu melibatkan bahagian Sabak Bernam, Bachok dan Gelang Patah.

Ketika ini, Jamawi Jaafar dan Khairul Azwan Harun, dua daripada empat calon yang bersaing dalam pemilihan jawatan itu terikat dengan keputusan undi seri 73-73, menerusi undian oleh kira-kira 70,000 perwakilan Pemuda daripada 190 bahagian yang diberi hak memilih kepimpinan sayap pada pemilihan kali ini.

Selain Jamawi, yang juga bekas Exco Pemuda dan Ketua Pemuda Umno Perak Khairul Azwan, perwakilan di ketiga-tiga bahagian itu akan mengundi semula bagi dua lagi calon naib ketua Pemuda iaitu Lokman Noor Adam dan Mohamad Iruan Zulkefli.

Jurucakap Sekretariat Umno dari ibu pejabat Umno berkata proses pemilihan itu akan berlangsung seperti yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pada Jumaat lepas di lokasi yang ditetapkan oleh Umno bahagian berkenaan.

Beliau berkata pemilihan semula itu masih mengekalkan prosedur yang digunakan sebelum ini, iaitu perwakilan perlu mendaftar diri bermula 8 pagi diikuti persidangan termasuk pembentangan penyata tahunan serta pembentangan penyata kira-kira sebelum menyerahkan mesyuarat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Bahagian untuk proses pemilihan.

Ini diikuti proses pengundian sehingga selesai sebelum perwakilan kembali meneruskan mesyuarat untuk agenda seterusnya, di mana pada masa sama proses pengiraan undi akan dilakukan.

"Keputusan akan diumumkan di bahagian masing-masing, namun keputusan muktamad hanya selepas disah dan diumumkan oleh ibu pejabat Umno pada hari itu juga," katanya.

Tambahnya, kertas undi bagi tiga bahagian itu akan mula dihantar, Selasa.

Jamawi dan Khairul Azwan sebelum ini telah bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan untuk mengadakan pemilihan semula di tiga bahagian berkenaan bagi menentukan pemenang jawatan itu, dan kedua-duanya berikrar untuk terus menyumbang kepada parti walau apapun keputusan yang diperoleh Rabu ini.

Pengundian akan dijalankan menurut sistem 'electoral college', menyaksikan bilangan undi terbanyak yang diperoleh seseorang calon dari sesebuah bahagian, dikira sebagai hanya satu undi. - BERNAMA

Artikel Lain