suria

Pengundi PRK DUN Sungai Limau Kurang 142 Orang Berbanding PRU-13

YAN: Jumlah pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kurang 142 orang sejak pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) pada Mei lepas.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata 142 nama itu dibersihkan daripada Daftar Pemilih untuk pilihan raya kecil (PRK) DUN berkenaan pada 4 November ini selepas mereka disahkan telah meninggal dunia.

Sehubungan itu, jumlah pengundi bagi PRK berkenaan ialah sebanyak 27,222 orang berbanding 27,364 pada PRU-13, katanya dalam sidang media, di sini, Isnin.

Beliau berkata 93 peratus atau 25,323 orang ialah pengundi Melayu, Cina (1,842 orang atau 6.7 peratus), India (15 orang atau 0.6 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain.

"Ada dua orang yang undi pos," katanya.

Abdul Ghani berkata sebanyak 58 saluran dan 17 pusat mengundi akan dibuka untuk PRK itu.

Selain itu SPR akan menubuhkan tiga pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti berkempen, katanya.

Mengenai persiapan banjir, Abdul Ghani berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan bagi tindakan selanjutnya jika berlaku banjir. - BERNAMA

Artikel Lain