suria

Umno Negeri Sembilan Tubuh Unit Indoktrinasi, Latihan Untuk Anggota Parti

SEREMBAN: Umno Negeri Sembilan akan mewujudkan unit khas bagi menguruskan indoktrinasi dan latihan kepada anggota sejajar dengan hasrat parti untuk melakukan proses transformasi dan peremajaan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata unit itu akan diurus oleh petugas berpengalaman dalam bidang latihan dan akan dibayar gaji.

"Kita tidak mahu lagi peranan (memberi latihan kepada ahli Umno) ini dilakukan secara sukarela dan akan ada pegawai-pegawai sepenuh masa yang akan menjaga tentang latihan untuk melatih terutama ahli kita yang terdiri daripada pemuda, puteri dan ketua-ketua cawangan.

"Cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat perhubungan Umno nanti untuk kami tentukan kaedah pelaksanaannya dan ia perlu dilakukan segera," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini Ahad.

Beliau berkata pewujudan unit itu akan dapat memberi latihan secukupnya kepada anggota Umno selain menerapkan pemahaman tentang sejarah, perjuangan dan objektif parti kepada anggota terutama kepimpinan muda.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata selain itu, unit berkenaan juga akan mempunyai satu cabang khas yang akan menjurus kepada pengambilan ahli-ahli baharu untuk menganggotai Umno dan akan menjalankan tugas secara menyeluruh dalam mendaftar pengundi.

"Di Negeri Sembilan ini masih ramai yang belum mendaftar (sebagai pengundi), ada lebih 100,000 mereka yang layak dan belum mendaftar dan hampir 90 peratus daripada jumlah ini terdiri daripada anak-anak Melayu," katanya.

Mengenai pemilihan Umno pada Sabtu, Mohamad berkata proses peremajaan parti jelas telah diterjemahkan apabila perwakilan memilih ramai muka-muka baharu dan pemimpin muda untuk memimpin mereka.

Beliau berkata campuran kepimpinan baharu dan lama hasil pemilihan ini akan menjadi resipi terbaik Umno untuk memperkukuhkan parti dan mendepani cabaran masa hadapan. - BERNAMA

Artikel Lain