suria

Perwakilan Umno Kuantan Meninggal Dunia

KUANTAN: Seorang perwakilan Umno Kuantan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika menghadiri mesyuarat perwakilan dan pemilihan bahagian itu di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Pahang Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata Mohamed Ariffin Awang, 69, merupakan anggota Umno Cawangan Batu 3, Sungai Isap.

Beliau dikatakan jatuh pengsan pada 9.20 pagi dan diberi rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan di dewan itu sebelum dibawa ke sebuah hospital pakar di sini, dan disahkan meninggal dunia, katanya kepada pemberita.

Menurut Abdul Jabbar Allahyarham antara 422 perwakilan yang menghadiri mesyuarat bahagian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supritendan Aziz Ahmad yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Di SETIU, seorang perwakilan Umno Bahagian Setiu, jatuh pengsan sejurus sebelum mengundi dalam pemilihan yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Setiu. Pengerusi Tetap Umno bahagian itu Mohd

Ashari Awang berkata kejadian berlaku pada pukul 11.15 pagi ketika tiba giliran Wan Hassan Wan Ahmad, 56, untuk mengundi.

Wan Hassan yang juga Ketua Umno Cawangan Gong Ubi Keling sebelum itu mengadu tidak sihat, katanya kepada pemberita.

Menurutnya Wan Hassan kemudian digegaskan ke Hospital Setiu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. - BERNAMA

Artikel Lain