suria

Undi Seri, Naib Ketua Pemuda Umno Diumum Selepas Aidiladha

Khairul Azwan Harun (kiri) dan Jamawi Jaafar (kanan).
Khairul Azwan Harun (kiri) dan Jamawi Jaafar (kanan).
Khairul Azwan Harun (kiri) dan Jamawi Jaafar (kanan).

KUALA LUMPUR: Pemenang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pusat akan diumum selepas Aidiladha berikutan dua calon teratas jawatan itu memperoleh undi seri.

Bernama melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali berkata, Jamawi Jaafar dan Khairul Azwan Harun, masing-masing memperoleh 73 undi daripada 190 bahagian.

Oleh itu, keputusan kemenangan bagi jawatan nombor dua pergerakan itu akan ditentukan berdasarkan kiraan undi popular setelah mereka seri, katanya dalam sidang media di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini Ahad malam.

Di bawah sistem undian 'Electoral College' yang diperkenalkan buat pertama kalinya dalam sistem pemilihan parti, seseorang calon yang mendapat undi terbanyak dari sesebuah bahagian hanya dikira sebagai mendapat satu undi dari bahagian itu.

Undi popular pula berdasarkan kepada jumlah undi sebenar yang diberikan perwakilan kepada setiap calon.

Bagaimanapun, Tajol Rosli berkata untuk berlaku adil kepada Jamawi dan Khairul Azwan, jawatankuasa pemilihan memutuskan untuk mengira semula undi yang diraih mereka dari 190 bahagian.

"Kita akan ambil balik undi daripada semua 190 bahagian, jumlahkan dan kemudian kita akan dapat tahu siapa yang akan menang untuk Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia," katanya.

Selain Jamawi dan Khairul Azwan, jawatan itu turut ditandingi Mohamad Iruan Zulkefli dan Lokman Noor Adam, masing-masing meraih 26 dan 18 undi.

Sebanyak 191 pergerakan Pemuda Umno bahagian mengadakan mesyuarat semalam dan semuanya selesai mengadakan mesyuarat kecuali bahagian Gelang Patah ditangguhkan susulan masalah 'dalaman'.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kedua-dua calon itu atau wakil mereka akan dipanggil ke ibu pejabat Umno selepas Aidiladha untuk menyaksikan pengiraan semula undi popular mereka.

"Kita ada (rekod) jumlah undi popular (sekarang), tapi kita kena berlaku adil kepada mereka sebab itu kita panggil kedua-duanya untuk datang dan menyaksikan sendiri pengiraan semula," kata Tengku Adnan.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata tarikh pengiraan semula itu belum ditetapkan dan ia akan diumumkan kelak.

Artikel Sebelum

Umno Pantau 'Cai' Senarai Calon

Artikel Lain