suria

Khairy Cadang Undi Gelang Patah Tentukan Naib Ketua Pemuda

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan agar hasil undian bahagian Pemuda Gelang Patah diguna dalam menentukan siapa Naib Ketua Pemuda Umno pusat, susulan dua calon bagi jawatan itu memperoleh bilangan undi yang sama.

Beliau membayangkan kemungkinan timbulnya pertikaian melibatkan pihak berkenaan jika kaedah kiraan undi popular diguna untuk menyelesaikan situasi itu.

"Kalau kita boleh kira undi di bahagian Gelang Patah, tidak perlu undi popular. Kalau (guna kaedah) undi popular, ia akan wujud pertikaian. (Lebih) senang kalau kita dapat selesaikan (melalui kiraan undi di Gelang Patah)," katanya menurut laporan Bernama.

Khairy berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersama-sama calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas program Rangkaian Sahabat Muda di sini Ahad malam.

Sebanyak 191 Pergerakan Pemuda Umno bahagian mengadakan mesyuarat semalam kecuali bahagian Gelang Patah yang ditangguhkan susulan masalah dalaman.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali ketika mengumumkan keputusan lanjut pemilihan tiga sayap Umno di Menara Dato' Onn malam ini, berkata Jamawi Jaafar dan Khairul Azwan Harun masing-masing memperoleh 73 undi daripada 190 bahagian.

Oleh itu, beliau berkata keputusan bagi jawatan nombor dua Pergerakan Pemuda akan ditentukan melalui kiraan undi popular iaitu berdasarkan jumlah undi sebenar perwakilan kepada setiap calon.

Khairy berkata beliau sudah berbincang dengan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sama ada akan mengemukakan cadangan Tajol Rosli iaitu membuka undi popular atau menyelesaikannya menerusi mesyuarat bahagian Gelang Patah.

Sementara itu, Jamawi berkata beliau yakin kiraan undi popular, jika dilakukan, akan memihak kepadanya berdasarkan rekod penerimaan di peringkat bahagian.

Bagaimanapun, Jamawi berkata jika keputusan adalah sebaliknya, beliau akan menerima dengan hati terbuka.

Khairul Azwan pula enggan memberi sebarang komen.

Artikel Sebelum

Umno Pantau 'Cai' Senarai Calon

Artikel Lain