suria

PRK DUN Sungai Limau: Calon BN Diumum 21 Oktober - TPM

YAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengumumkan nama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 21 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata senarai calon itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat ini untuk dipertimbangkan.

"Ramai yang berkelayakan. Yang pasti kita akan ambil kira pandangan negeri dan bahagian. Mereka juga ada nama tokoh-tokoh yang sesuai. Ini diambil kira.

"Nama calon akan diumumkan pada 21 Oktober. Saya sendiri akan turun untuk buat pengumuman. Harapan saya proses pilihan raya kecil berjalan baik. Diharapkan mereka (pengundi DUN Sungai Limau) beri sokongan kepada BN," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan BN dan Umno negeri Kedah serta Bahagian Jerai di pekan Sungai Limau di sini Selasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau diadakan pada 4 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan 23 Oktober.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai diisytihar kosong berikutan kematian penyandang Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, pada 26 September lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi DU NSungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi. - BERNAMA

Artikel Lain