suria

Polis Berkas Dua Lelaki, Rampas Pistol & Senjata Tajam

SEREMBAN: Polis memberkas dua lelaki yang sebelum itu membaling keluar sepucuk pistol dari kereta yang dinaiki mereka, berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Lekas, dekat sini pagi Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan ACP Hamdan Majid berkata dalam kejadian 10.15 pagi itu, suspek berusia 27 dan 56 tahun terbabit berbuat demikian selepas menyedari mereka diekori oleh pihak polis.

Polis sebelum itu mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dan bertindak mengekorinya.

Tidak lama kemudian anggota polis terbabit ternampak satu objek hitam dibaling keluar dari kereta itu.

Polis kemudian bertindak menahan kereta terbabit dan pemeriksaan polis menemukan pistol jenis Glock tidak jauh dari tempat suspek diberkas, katanya dalam sidang media, di sini Selasa.

Menurut Hamdan, pemeriksaan lanjut ke atas kereta suspek menemukan pelbagai senjata tajam termasuk tiga bilah parang.

Polis juga menemukan sembilan tiub dadah jenis heroin seberat 5.05 gram dan 1.62 gram ganja di dalam kereta berkenaan, katanya.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang berasal dari Johor itu mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu memiliki barangan curi dan peras ugut," katanya.

Hamdan berkata polis juga percaya penangkapan dua suspek itu dapat membantu menyelesaikan beberapa kes samun dan pecah rumah di negeri berkenaan.

Kedua-dua lelaki terbabit direman sehingga Isnin depan. - BERNAMA

Artikel Lain