suria

Polis P.Pinang Tahan Lagi Anggota Kongsi Gelap

GEORGE TOWN: Tiga lelaki, termasuk dua anggota kongsi gelap yang disyaki terlibat dalam tiga kejadian tembak di negeri ini dan di Sabak Bernam, Selangor ditahan dalam dua serbuan di Kuala Kurau, Perak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, tiga lelaki berkenaan yang berusia antara 36 hingga 60 tahun itu ditahan Jumaat lepas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang.

Beliau berkata, dua lelaki yang bekerja sebagai penjual kereta ditahan dalam serbuan pada pukul 1.30 pagi dan susulan itu polis menyerbu sebuah lagi rumah dan menahan seorang lelaki berusia 60 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua lelaki terbabit.

Dalam serbuan pertama, polis turut merampas dua pucuk pistol bersama 675 butir peluru, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Abdul Rahim menambah, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan dua kejadian tembak pemilik sebuah restoran Simpang Ampat dekat sini awal bulan ini.

"Kami percaya mereka mempunyai kaitan dengan kejadian tembak itu yang mencederakan enam pelanggan lelaki yang sedang minum di sebuah restoran di Taman Kasawari, 24 Ogos lepas dan seminggu kemudian pemilik restoran tempat kejadian itu juga ditembak," katanya.

Beliau berkata, selain itu, tiga lelaki berkenaan disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian tembak di Sabak Bernam, Selangor.

"Susulan penahan tiga lelaki itu, kami percaya dapat menyelesaikan dua kes di negeri ini dan satu di Sabak Bernam. Mereka kini direman bagi membantu siastan," katanya lagi. Sementara itu Abdul Rahim juga berkata, setakat ini polis Pulau Pinang telah menyelesaikan 12 kes tembak di negeri ini dan percaya dapat menyelesaikan sembilan lagi kes juga membabitkan kejadian tembak. Dalam perkembangan lain, katanya polis Pulau Pinang menahan 491 individu dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan sejak 17 Ogos lepas hingga semalam di seluruh negeri ini dan 80 orang daripada yang ditahan itu merupakan anggota kongsi gelap.

"Kami merampas enam pucuk pistol, 14 bilah parang, 16 batang rotan dan pelbagai jenis senjata lain. Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk kereta," katanya.

Artikel Lain