suria

Bung Sedia Hadapi Cabaran Saddi Bagi Jawatan Ketua Umno Bahagian

Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU: Datuk Bung Moktar Radin sedia menghadapi cabaran bagi mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kinabatangan yang turut diintai oleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman. "Sesiapa sahaja boleh lawan saya, saya sedia hadapi saingan daripada mana-mana pihak," kata Bung Moktar pada Sabtu yang memegang jawatan Ketua Umno Bahagian Kinabatangan sejak 20 tahun lalu.

Bung, yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional berkata beliau sedia menghadapi cabaran Saddi kerana percaya ia dapat mengkukuhkan parti itu di Kinabatangan.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata apa yang penting ialah untuk mengukuhkan parti itu sendiri dan melihat saingan seperti itu sebagai perkara yang positif.

"Apa yang saya minta daripada semua calon ialah menjadikan saingan kali ini sebagai isu keluarga," katanya.

Pada Jumaat, Adun Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman telah mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kinabatangan menentang Bung.

Saddi berkata beliau membuat keputusan tersebut selepas majoriti ahlinya mahu melihat perubahan dalam pucuk pimpinan.

"Saya telah memikirkan secara serius perkara ini sejak dua bulan lalu, saya juga telah membuat pertimbangan sama ada pertandingan ini akan memberi kesan kepada perpaduan parti namun saya membuat keputusan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pemimpin cawangan," kata Saddi yang juga Pengerusi Cawangan Kampung Perpaduan Batu Putih 1.

Beliau mendakwa sekurang-kurang 56 peratus daripada pemimpin parti di peringkat cawangan mahu perubahan kepimpinan di peringkat Umno. "Tranformasi politik memerlukan perubahan kepimpinan bagi memastikan Umno terus kekal relevan," katanya.

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain