suria

Polis Kuantan Rampas Komputer Judi Bernilai Lebih RM3 Juta

KUANTAN: Polis Kuantan merampas 3,338 unit komputer yang digunakan dalam aktiviti perjudian Internet di pusat kafe siber bernilai lebih RM3 juta sejak Januari lepas sehingga hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff, dalam tempoh itu 1,039 orang ditangkap atas kesalahan berjudi dan turut merampas wang tunai lebih RM68,000 hasil perjudian.

"Bagi tempoh berkenaan 32 premis dipotong bekalan elektrik, 79 premis dibatal lesen, 67 kes telah didakwa di mahkamah dan 29 kes lagi masih dalam perbicaraan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Katanya dalam Ops Dadu yang dijalankan di sini awal hari ini, tujuh pusat kafe siber diserbu dipercayai menjalankan aktiviti perjudian Internet secara haram sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata polis merampas 161 set komputer bernilai RM161,000 serta wang tunai lebih RM8,000 dan menahan 106 kaki judi termasuk dua wanita berumur lingkungan 20-an hingga 50-an. - BERNAMA

Artikel Lain