suria

Dua Kes Pecah Kereta Dalam Tempoh 15 Minit Di Kulim

KULIM: Dua wanita kerugian hampir RM2,000 apabila beg tangan dalam kereta masing-masing, diletakkan dalam jarak tidak sampai dua kilometer, hari ini dipecah masuk dipercayai oleh empat lelaki.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata dalam kes pertama pada 11.15 pagi, seorang wanita berusia 33 tahun yang meletakkan kereta Honda CRV di tepi Jalan Mohd Asaad di sini mendapati cermin pintu hadapan sebelah kiri keretanya dipecahkan dan beg tangannya lesap.

Katanya dalam kejadian kedua yang berlaku kira-kira 15 minit kemudian, seorang wanita berusia lingkungan 20-an juga kehilangan beg tangan yang disimpan di dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan di hadapan rumahnya di Taman Keladi di sini.

"Pemilik kereta kedua itu pun mendapati cermin pintu hadapan sebelah kiri keretanya pecah dan beg tangannya turut lesap. Kami percaya jenayah ini dilakukan suspek yang sama, kerana kebanyakan dokumen penting milik kedua-dua mangsa dijumpai di satu lokasi berhampiran tempat pembuangan sampah di Taman Selasih di sini," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Ghuzlan berkata seorang wanita menemui dokumen milik kedua-dua mangsa berkenaan dan menghubungi mangsa pertama ketika dia sedang membuat laporan kesnya di Balai Polis Kulim tengah hari tadi.

Bagaimanapun wang tunai, kad bank serta kad pengenalan kedua-dua mangsa gagal ditemui.

Beliau berkata mangsa pertama memberitahu polis orang awam memaklumkan kepadanya empat lelaki yang menaiki dua motosikal melakukan jenayah itu.

Ghuzlan meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi polis di talian 04-4906222k. -BERNAMA

Artikel Lain