suria

Polis Tahan Sembilan Lelaki Cuba Curi Transformer TNB Bernilai RM70,000

BUKIT MERTAJAM: Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggagalkan cubaan mencuri sebuah transformer bernilai RM70,000 milik TNB di pencawang utama Kawasan Perusahaan Perai, dekat sini Isnin dan menahan sembilan suspek lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata kejadian itu disedari anggota polis bantuan TNB yang meronda kawasan itu pukul 10.15 malam apabila ternampak cahaya terang di pencawang itu sebelum memeriksa.

Katanya sebahagian daripada kumpulan lelaki sembilan orang itu memakai ves berlogo TNB bagi mengaburi orang ramai semasa menjalankan kegiatan itu.

"Sepasukan polis bantuan TNB yang kebetulan berada di kawasan berkenaan merasa hairan selepas melihat cahaya terang dari pencawang berkenaan dan segera bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

"Dalam masa sama anggota polis bantuan berkenaan membuat semakan dengan pihak pengurusan TNB Seberang Perai Tengah (SPT) namun mereka dimaklumkan tiada urusan membawa keluar transformer dan ketika ditahan kumpulan itu sedang membawa keluar transformer itu menggunakan sebuah treler," katanya ketika dihubungi di sini Selasa.

Mazlan berkata polis bantuan TNB menahan kesemua suspek berumur 30 hingga 42 tahun dan menyerahkan mereka kepada polis.

Katanya polis percaya transformer itu dicuri untuk dijual kepada pihak tertentu dan siasatan juga mendapati sebahagian lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah berkaitan curi.

"Semua mereka direman selama enam hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain