suria

Leptospirosis Hanya Boleh Diatasi Jika Rakyat Jaga Kebersihan - Subramaniam

SEGAMAT: Ancaman penyakit berjangkit yang berpunca daripada penularan wabak kencing tikus, atau leptospirosis, hanya boleh diatasi jika masyarakat menjadikan kebersihan sekitar satu tanggungjawab. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata penyakit itu berkait rapat dengan sikap masyarakat, termasuk peniaga makanan, yang kurang menitikberatkan soal menjaga kebersihan premis perniagaan mereka dan alam sekitar.

"Selain usaha kerajaan, masyarakat juga hendaklah bekerjasama memastikan kawasan persekitaran bersih supaya tidak menjadi tempat pembiakan tikus dan menentukan premis perniagaan makanan bersih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Negeri Johor di sebuah pusat beli-belah Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah media elektronik baru-baru ini yang mendedahkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur terdedah kepada ancaman wabak leptospirosis berikutan keadaan di lorong belakang bangunan yang menjadi kawasan pembiakan tikus.

"Kerjasama rakyat untuk mencegah penyakit berjangkit ini masih belum memuaskan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain