suria

Usaha Mencari Diteruskan Berikutan Aduan Waris

GENTING HIGHLANDS: Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat masih meneruskan usaha mencari mangsa nahas bas di sini yang mengorbankan 37 penumpang dan pemandu di KM3.5 Jalan Genting Highlands di sini Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong DSP Wan Azhar Ruddin Wan Ismail berkata usaha itu dijalankan berikutan ada waris mendakwa gagal menghubungi anggota keluarga yang disyaki terlibat dalam nahas pada 2.22 petang itu.

"Usaha ini bermula kira-kira 9.45 pagi untuk mencari sekiranya masih ada saki baki mangsa selain mengeluarkan barang-barang berharga mangsa yang boleh dijadikan bukti pengenalan diri mereka.

"Ia akan diteruskan sehingga kami berpuas hati sebelum proses seterusnya iaitu mengenal pasti kaedah untuk menarik bas berkenaan," katanya kepada pemberita di lokasi nahas itu pada Khamis.

Beliau berkata daripada 37 mangsa yang maut, seramai 22 orang belum dikenal pasti.

Kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas apabila bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.

Tinjauan Bernama mendapati pegawai dan petugas Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan keselamatan Jalan Raya (JKJR) berada di lokasi kejadian untuk menyiasat.

Pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 dan 7 dari Cheras dan Semenyih juga ditugaskan di tempat kejadian.

Pihak berkuasa juga mengalihkan laluan trafik dari puncak Genting Highlands menghala ke ibu negara atau Pahang ekoran penutupan jalan di KM3.5 Jalan Genting Highlands.

Pakaian dan beg dipercayai milik mangsa nahas bas itu turut kelihatan bertaburan di tepi jalan.

Kesan brek tayar bas malang itu juga dapat dilihat dari sejauh 100 meter di laluan berkenaan.

Kesan itu turut terdapat pada tembok penghadang setebal 0.6 meter yang menyebabkan binaan konkrit itu runtuh.

Lokasi nahas itu berlaku bersebelahan zon penampan keselamatan yang dibina untuk pemandu yang kehilangan daya tekanan brek.- BERNAMA

Artikel Lain