suria

Gangguan Air Tak Berjadual Di KL, Gombak

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 kawasan di Kuala Lumpur dan Gombak mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah berikutan kegagalan sistem pam di Rumah Pam Wangsa Maju.

Kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada Rabu menyebut gangguan akibat penurunan paras air sehingga berlakunya kejadian pam terpelantik, menyebabkan operasi di rumah pam terpaksa dihentikan sementara.

"Walau bagaimanapun, pada masa ini, SYABAS berjaya mengaktifkan semula pengoperasian rumah pam itu pada 11.30 pagi secara berperingkat di mana tempoh pemulihan di kesemua kawasan dijangka mengambil masa selama 48 jam," katanya.

Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Setapak Jaya, Taman Sri Rampai, Taman Sri Keramat, Taman Cahaya Indah, Taman Dato Ahmad Razali, Taman Keramat Permai, Taman Dagang, Taman Desa Setapak, AU2, Taman Wangsa Melawati dan Desa Setapak.

Kawasan lain ialah Pandan Jaya, Taman Cahaya, Taman Nirwana, Bandar Sri Permaisuri, Taman Bakti, Taman Maluri, Taman Shamelin Perkasa dan Kampung Pandan.

Sebagai langkah tambahan, SYABAS menyediakan 10 lori tangki dan 30 tangki statik di Kuala Lumpur dan 10 lori tangki dan 20 tangki statik di Gombak untuk digerak ke kawasan terlibat.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain