suria

Prosiding Inkues Kematian Cheah Semasa Dalam Tahanan Ditetapkan 12 & 13 Ogos

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 12 dan 13 Ogos depan untuk inkues berhubung kes Cheah Chin Lee yang ditemui mati di lokap Balai Polis Tanjung Tokong, di sini, pada 13 Ogos tahun lepas.

Koroner L. Umma Devi menetapkan tarikh itu selepas menerima surat cuti sakit daripada peguam pemerhati keluarga si mati iaitu M. Vismanathan yang dimasukkan ke hospital bermula 6 hingga 12 Julai ini iaitu pada tarikh prosiding itu sepatutnya berlangsung.

Pada prosiding hari ini, Umma Devi juga memohon maaf kepada Timbalan Pandakwa Raya Mohd Faisal Md Noor serta 15 orang saksi yang terdiri daripada saksi polis dan awam yang hadir kerana prosiding terpaksa ditangguhkan atas alasan yang tidak boleh dielakkan.

"Pihak mahkamah juga telah bersedia dengan segala peralatan untuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Bagaimanapun prosiding terpaksa ditangguhkan dan diharap kesemua saksi dapat hadir pada tarikh yang telah ditetapkan," kata Umma Devi.

Cheah yang ditahan polis pada tengah malam 13 Ogos 2012 bagi mambantu siasatan polis berhubung kes curi motosikal ditemui mati tergantung lima jam selepas ditahan di lokap Balai Polis Tanjung Tokong.

Sehubungan itu, pada 12 September 2012, ahli keluarga mangsa menyampaikan memorandum kepada Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Muhammad Sha'ani Abdullah di Pulau Pinang dan Suhakam berjanji akan mendesak polis mengeluarkan rakaman CCTV.

Pada 21 September 2012, peguam keluarga mangsa menghantar surat kepada mahkamah di Pulau Pinang dan Peguam Negara meminta inkues diadakan bagi menyiasat kematian Cheah.

Pada 1 November 2012, Pejabat Peguam Negara menjawab surat tersebut dengan menyatakan persetujuan mengadakan inkues untuk menyiasat kematian Cheah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain