suria

ATM Sedia Bawa Keluar Pelajar Malaysia Dari Mesir - Hishammuddin

ALOR GAJAH: Dua pesawat C130 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan dalam keadaan bersedia untuk operasi membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir sekiranya keadaan memerlukan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata pesawat ATM itu hanya akan digunakan sekiranya pelajar berkenaan tidak dapat dibawa keluar dengan menggunakan pesawat komersil jika keadaan di negara bergolak itu menjadi semakin genting dan mengancam nyawa mereka.

"Sekiranya keselamatan pelajar kita di tahap genting, ATM akan laksanakan operasi membawa keluar pelajar kita," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau terdahulu melakukan lawatan kerja ke Kem terendak dan Kem Sungai Udang di sini. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.

Pada lawatan itu, Hishammuddin turut dianugerahi Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para) yang dipakaikan oleh Zulkifeli.

Para hadirin turut disajikan dengan demonstrasi ketenteraan oleh lebih 2,000 anggota 10 Briged (Para) yang antaranya terlibat dalam operasi ketenteraan di Lahad Datu.

Hishammuddin berkata pada masa kini Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah memaklumkan masih tiada keperluan untuk membawa pelajar serta rakyat Malaysia keluar dari Mesir.

"Kita sentiasa memantau dengan teliti situasi di Kaherah dan akan mengambil tindakan segera sekiranya keadaan menjadi semakin genting. Kita nasihatkan pelajar Malaysia melapor diri di pejabat kedutaan kita di sana dan pihak penaja masing-masing bagi mendapatkan status terkini keadaan di sana," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata segala usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan di kawasan pantai timur Sabah tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan sekiranya rakyat tidak memahami dan menghargai usaha tersebut.

"Kita rancang tubuh batalion baharu atau bina lapangan terbang baharu, rakyat perlu faham mengapa perlu ini semua dilakukan demi keselamatan negara dan mereka boleh tidur lena. Hentikan menggunakan isu seperti ini bagi tujuan politik demi kepentingan pihak tertentu," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain