suria

Polis Siasat Kematian Lelaki Ketika Ditahan Polis Peronda

KUALA LUMPUR: Polis akan menjalankan siasatan secara terperinci dan adil berhubung kes kematian seorang lelaki berusia 53 tahun yang meninggal dunia ketika ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata lelaki berkenaan ditahan dalam satu kejadian mengejar suspek oleh dua anggota polis peronda (MPV) di Jalan Barat off Jalan Imbi di sini kira-kira 12.15 pagi Khamis.

"Semasa anggota polis cuba melakukan tangkapan terhadap pemandu kereta Proton Waja itu, telah berlaku sedikit pergelutan sebelum lelaki berkenaan berjaya ditahan.

"Bagaimanapun beliau didapati tenat dan ambulans telah dipanggil sebelum lelaki berkenaan disahkan mati di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam Khamis.

Zainuddin berkata hasil laporan bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan dalaman mahupun luaran dan jantung serta organ dalaman berada dalam keadaan baik.

Katanya, bagaimanapun punca kematian lelaki berkenaan masih belum diketahui sementara menunggu hasil laporan kimia yang akan dikeluarkan.

Beliau berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada ahli keluarga mendiang oleh doktor yang menjalankan pembedahan.

Beliau menambah setakat ini anak mangsa membuat laporan polis dan anggota yang membuat tangkapan turut membuat laporan dengan menerangkan tujuan dan keadaan mendiang ketika ditangkap. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain