Hari Pertama Sidang DUN P.Pinang Tiada Sesi Soal Jawab - Semasa | mStar

Hari Pertama Sidang DUN P.Pinang Tiada Sesi Soal Jawab

GEORGE TOWN: Langkah untuk tidak mengadakan sesi soal jawab pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Rabu mengundang rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Barisan Nasional negeri.

Menyifatkan tindakan Speaker DUN Pulau Pinang itu seolah-olah memberi hukuman mati kepada sistem demokrasi, Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid berkata keputusan itu menunjukkan DUN enggan bertanggungjawab untuk memberi jawapan kepada rakyat berlandaskan ketelusan.

Sesi soal jawab pada semua persidangan dewan undangan negeri dan Dewan Rakyat merupakan amalan setiap kali persidangan berlangsung. Sesi itu memberi peluang kepada wakil rakyat mengajukan soalan-soalan yang dibangkitkan rakyat untuk dijawab pihak kerajaan.

"Ini sesuatu yang amat mendukacitakan, untuk pertama kalinya DUN mencipta sejarah apabila tidak memberi laluan kepada sesi soal jawab atas alasan kekangan masa, soal jawab adalah peranan penting dalam demokrasi, sistem ini telah dibentuk sebagai peraturan dalam aturan mesyuarat.

"Perkembangan seperti ini seolah-olah sebagai hukuman maut atau mati kepada sistem demokrasi akibat keangkuhan kuasa mutlak yang ada pada kerajaan negeri," katanya yang mempersoalkan keputusan Speaker DUN Law Choo Kiang pada sidang DUN di sini, Rabu.

Law memberitahu bahawa persidangan DUN masih sah walaupun tidak memberi laluan kepada sesi soal jawab akibat kekangan masa.

Jahara berkata sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan akauntabiliti, adalah penting bagi DUN untuk mengembalikan sesi soal jawab kerana ia merupakan kepentingan awam dan sebagai menghormati sistem demokrasi.

Bantahan terhadap keputusan untuk tidak memberi laluan kepada sesi soal jawab itu turut disokong Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang menegaskan bahawa sesi itu penting kerana rakyat perlu tahu tindakan kerajaan terhadap permasalahan yang dibangkitkan mereka.

"Saya memang tidak puas hati kerana tidak ada sesi soal jawab, jangan jadikan kekangan masa sebagai alasan untuk kita tidak buat sesi soal jawab, kita boleh buat," katanya.

Persidangan hari pertama DUN pagi ini turut menyaksikan pertikaman lidah antara ketua pembangkang dengan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) yang mahu Jahara menarik balik kenyataan 'demokrasi telah maut' ketika Jahara mempersoalkan keputusan yang dibuat Speaker.

Suasana itu dapat ditenangkan oleh Speaker dan persidangan diteruskan dengan membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas tanpa memberi laluan kepada sesi soal jawab. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

Artikel Lain