suria

BN, PKR Fail Petisyen Pilihan Raya di Beberapa Negeri

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) Terengganu memfailkan dua petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dan Teluk Pasu pada Selasa.

Wakil jurucakap BN, Che Awang Salleh berkata petisyen itu difailkan pada pukul 11.30 pagi oleh Tetuan Rafaei & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini.

Kira-kira 100 penyokong BN hadir di perkarangan kompleks mahkamah ketika petisyen difailkan.

Ahad lepas, PAS Terengganu memfailkan dua petisyen PRU-13 bagi DUN Hulu Besut dan DUN Kuala Berang atas alasan utama berlaku amalan rasuah.

Di IPOH, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak memfailkan dua petisyen PRU13 di Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan sebagai tidak sah dan batal keputusan bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh.

Petisyen pertama difailkan menerusi peguam Madhi Hasan yang juga bekas calon PKR bagi kerusi itu.

Petisyen kedua menerusi peguam Chong Kok Yew yang mewakili pengundi Bagan Datoh, Azmi Sulaiman.

Kedua-dua petisyen difailkan pada pukul 3.15 petang ini.

Madhi, Naib Pengerusi PKR Perak, berkata petisyen itu difailkan atas dakwaan berlaku perbuatan rasuah serta perbelanjaan berlebihan oleh calon lawan yang merupakan satu kesalahan pilihan raya.

Pada pilihan raya itu, Madhi ditewaskan oleh calon BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meraih majoriti 2,108 undi.

PKR hanya menang lima daripada 19 kerusi DUN Perak yang ditandinginya manakala bagi kerusi parlimen pula, parti itu menang tiga daripada sembilan yang ditandingi iaitu Lumut, Sungai Siput dan Gopeng.

Sementara itu, PKR turut memfail dua petisyen di mahkamah sama untuk mengisytiharkan keputusan PRU-13 bagi kerusi Parlimen Machang dan Ketereh sebagai tidak sah dan batal.

Petisyen bagi kerusi Parlimen Machang difailkan oleh calon parti itu Wan Zawawi Wan Ismail yang kalah kepada calon BN Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dengan majoriti 805 undi.

Petisyen bagi kerusi Parlimen Ketereh difailkan oleh calon PKR Ab Aziz Ab Kadir, yang tewas kepada calon BN Tan Sri Annuar Musa dengan majoriti 974 undi.

PAS pula memfailkan satu lagi petisyen pilihan raya hari ini melibatkan kerusi DUN Selising apabila calon BN Zulkifle Ali menewaskan calon PAS Saipul Bahrim Mohamad dan calon Bebas Ibrahim Ismail dengan majoriti 107 undi.

Petisyen itu difailkan oleh Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Selising, Semsudin Muhammad.

Petisyen dari PKR dan PAS difailkan melalui Hisham Fauzi Associates.

Semalam, PAS memfailkan dua petisyen pilihan raya bagi DUN Air Lanas dan DUN Kok Lanas.

Di MUAR, BN Johor memfailkan tiga petisyen di Mahkamah Tinggi bagi permohonan supaya diisytiharkan sebagai tidak sah dan batal keputusan PRU13 melibatkan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

Kerusi Parlimen itu ialah bagi kawasan Batu Pahat sementara kerusi DUN ialah Parit Yaani dan Penggaram.

Calon-calon BN yang tewas di kerusi Parlimen Batu Pahat ialah Dr Mohd Puad Zarkashi, di DUN Parit Yaani ialah Teo Yew Chuan dan DUN Penggaram Dr King Ban Siang. Di JOHOR BAHARU, BN memfail dua petisyen terhadap keputusan pilihan raya umum berkenaan bagi DUN Stulang dan DUN Puteri Wangsa.

Calon BN yang tewas di Puteri Wangsa ialah M. Soorianarayanan; di Stulang, Chong Chee Siong.

Di MELAKA, BN negeri memfailkan dua petisyen di Mahkamah Tinggi di Ayer Keroh untuk memohon perisytiharan keputusan PRU13 bagi kerusi Parlimen Bukit Katil dan DUN Bukit Baru sebagai tidak sah dan batal.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata petisyen itu dikemukakan melalui panel peguam Tetuan Rosfinah & Co dan turut dibantu oleh Adli & Co.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri hadir ke mahkamah tersebut bersama dua peguamnya bagi memfailkan petisyen.

Mohd Ali yang bertanding bagi kerusi Parlimen Bukit Katil tewas kepada calon dari PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan majoriti 5,447 manakala Ketua Pemuda BN Melaka, Karim Yaacob yang bertanding bagi DUN Bukit Baru (dalam Parlimen Bukit Katil) kalah tipis dengan majoriti 48 undi kepada calon dari Pas, Dr Khalid Kassim.

Di KOTA KINABALU, calon BN yang kalah kepada calon PKR Datuk Lajim Ukin pada PRU13 turut memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan bagi kerusi negeri Klias.

Ketika ditemui pemberita, calon berkenaan Isnin Aliasnih berkata petisyen tersebut difailkan pada pukul 1.00 tengah hari. Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Beaufort itu enggan memberi sebarang maklumat lanjut mengenai petisyen itu, tetapi berkata akan mengeluarkan kenyataan kemudian.

Lajim turut memfailkan pada pukul 3.00 petang, petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan keputusan parlimen Beaufort.

Beliau kalah kepada calon BN Datuk Azizah Mohd Dun pada kerusi Parlimen itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain