Pemandu Syarikat Keselamatan Didakwa Rompak Beg Tangan Wanita - Semasa | mStar

Pemandu Syarikat Keselamatan Didakwa Rompak Beg Tangan Wanita

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu syarikat keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa terhadap pertuduhan merompak beg tangan seorang wanita yang mengandungi wang tunai RM70,000, bulan lepas.

Mohamad Shafiq Saibe, 23, bersama-sama dua lagi yang masih bebas didakwa merompak Noraidah Dzulkefli, 32, penolong pengurus syarikat pelancongan, dengan meragut beg tangan yang mengandungi wang tunai, telefon bimbit, kad pengenalan dan kad ATM serta sengaja mencederakan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta belakang Ampang Park di sini pada 12.40 tengah hari 31 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin kerana nilai kerugian melibatkan RM70,000.

Tertuduh bagaimanapun memohon jaminan itu dikurangkan kerana isterinya sedang sarat mengandung dan dia perlu menanggung keluarga.

Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang memerlukan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 10 Julai untuk sebutan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Pembangkang Tangguh Black505 22 Jun

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Hamidin dipilih presiden MFL baharu