suria

Pasukan Penyiasat Bebas Ditubuh Siasat Tragedi Runtuhan Di Jambatan Kedua P.Pinang

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Fadilah Yusof berkata punca sebenar insiden runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang perlu segera dikenalpasti bagi mengelak berulangnya kejadian seumpamanya.

Beliau berkata sebuah pasukan penyiasat bebas terdiri kumpulan pakar akan diwujudkan untuk mengenal pasti sama ada runtuhan itu disebabkan ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), kompetensi pekerja atau masalah lain.

"Kita kena kaji keseluruhan insiden untuk dijadikan rujukan jangka panjang. Kalau libatkan kelemahan daripada segi SOP maka kita kena cari jalan untuk tambah baik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Fadilah berkata walaupun aspek keselamatan di tapak pembinaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Kementerian Sumber Manusia, namun pihaknya masih perlu menjalankan siasatan memandangkan semua lebuh raya di negara ini dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di bawah kementeriannya.

Ditanya mengenai kesan insiden tersebut kepada keseluruhan projek jambatan yang dijangka dibuka September depan, Fadilah berkata ia bergantung kepada hasil siasatan pasukan penyiasat yang ditubuhkan dan tindakan DOSH sendiri.

Pada Khamis, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu runtuh pada kira-kira 6.40 petang. - BERNAMA

Artikel Lain