suria

Mesin ATM Hilang Dipercayai Dilarikan Sekumpulan Penjenayah

JOHOR BAHARU: Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) hilang selepas dipercayai dilarikan sekumpulan penjenayah dalam kejadian di sebuah bank di Jalan Ros Merah, Taman Johor Jaya, di sini awal hari Khamis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.50 pagi menerusi satu panggilan oleh orang awam.

"Suspek telah bertindak menyembur cat hitam pada kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak identiti mereka dikesan sebelum melarikan mesin ATM itu," katanya ketika ditemui di sini, Khamis.

Roslan berkata polis akan melihat rakaman CCTV terbabit secara terperinci dan setakat ini yakin jenayah itu dilakukan lebih daripada dua suspek.

"Kita akan mengambil keterangan pengawal keselamatan yang bertugas di bank berkenaan. Difahamkan, dia tidak berada di tempat kejadian ketika jenayah itu berlaku," katanya.

Beliau berkata jumlah kerugian masih belum dipastikan. - BERNAMA

Artikel Lain