suria

Abdul Wahid, Waythamoorthy Angkat Sumpah Senator

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P.Waytha Moorthy hari ini mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara.

Upacara angkat sumpah dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan disaksikan para anggota Dewan berkenaan.

Abdul Wahid, 49, dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Rekod pencapaian cemerlang Abdul Wahid dalam pengurusan korporat dan kewangan bermula dengan sektor perbankan pada 1988 apabila beliau menyertai Bumiputra Merchant Bankers di Jabatan Perbankan Korporat.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai kewangan di Telekom Malaysia Berhad pada 2001.

Ketika ditemui pemberita, Abdul Wahid berkata beliau berikrar melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara, khususnya dalam ekonomi.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta kerajaan atas pelantikan itu.

"Harapan saya ialah untuk melakukan sebaik mungkin mengikut harapan semua rakyat Malaysia. Kalau rakyat ada sebarang idea bagi meningkatkan kebolehan di EPU, kami akan ambil kira pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, Waytha Moorthy, 47, yang dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau menghargai kepercayaan yang diberikan Najib dan peluang itu akan digunakan bagi meningkatkan kebajikan masyarakat India. "Kami telah lama berjuang untuk memastikan suara kami didengari, jadi ini ialah permulaan baharu bagi kaum India," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain