suria

Minoriti Muslim Perlu Dapatkan Autonomi - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian Simposium "Islam dan Era Baru Negara-Negara Asean: Kesatuan Pemikiran, Kemakmuran Bersama" di Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini Selasa. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian Simposium
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian Simposium "Islam dan Era Baru Negara-Negara Asean: Kesatuan Pemikiran, Kemakmuran Bersama" di Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Masyarakat minoriti Islam di negara Asean yang berjuang untuk mendapatkan hak masing-masing seharusnya berusaha menuntut kuasa autonomi yang dilihat lebih bermakna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, komuniti Muslim di negara-negara seperti Filipina, Thailand dan Myanmar mesti memahami bahawa mereka perlu hidup dibawah pentadbiran kerajaan sedia ada serta memberi sumbangan untuk pembangunan negara masing-masing.

"Mereka mesti lupakan idea untuk wujudkan sebuah negara Muslim yang bebas kerana ia tidak realistik.

"Mereka sepatutnya menuntut autonomi yang lebih bermakna berbanding kemerdekaan," katanya dalam ucapan perasmian pada Simposium Antarabangsa Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) mengenai 'Islam dan Era Baharu Negara-negara Asean: Perpaduan Daripada Pandangan Dunia Ke arah Kemakmuran Bersama" di sini, Selasa.

Selain itu menurut Najib, komuniti Muslim patut diberikan autonomi dan perlindungan dengan mengambil kira identiti-identiti agama, bahasa dan budaya manakala peluang-peluang sosio-ekonomi mereka mesti dipertingkatkan.

"Umat Islam juga mesti memahami tanggungjawab mereka terhadap orang bukan Islam," katanya.

Selain itu Najib mengulangi komitmen Malaysia ke arah menggalakkan resolusi damai di kawasan-kawasan bergolak di rantau ini.

Artikel Lain