suria

Lelaki Warga Nigeri Gelongsor Tiang Kumbahan Elak Ditahan Jab. Imigresen

MELAKA: Seorang lelaki warga Nigeria bertindak menggelongsor tiang kumbahan dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Taman Pelangi, Ayer Keroh di sini bagi melarikan diri daripada anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Kamalludin Ismail berkata ketika serbuan, lelaki terbabit bersama tiga lagi rakannya serta seorang wanita warga Filipina berada dalam sebuah rumah di pangsapuri tersebut.

Beliau berkata pihaknya terpaksa memecahkan pintu rumah itu sebelum berjaya menahan wanita berkenaan serta tiga lelaki warga Nigeria yang bersembunyi di atas siling dan tandas.

"Seorang lelaki warga Nigeria berjaya melarikan diri dengan menggelongsor menuruni tiang kumbahan," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau berkata tiga lagi lelaki warga Nigeria bersama dua wanita tempatan turut ditahan di dua lagi rumah di pangsapuri tersebut.

Dalam pada itu katanya seorang lagi lelaki warga Nigeria turut ditahan di sebuah kedai makan di Kota Laksamana di sini dalam operasi penguatkuasaan bermula 10.30 malam Isnin hingga 2 pagi tadi.

Kamalludin berkata kesemua mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk masuk dan tinggal tanpa pas yang sah, tinggal lebih masa dan memiliki dokumen palsu serta memberi perlindungan kepada individu yang melanggar Akta Imigresen. -BERNAMA

Artikel Lain