suria

Thilaiyalagan Tidak Pernah Jumpa Sosilawati & Rakan-Rakan - Peguam

SHAH ALAM: Tertuduh kedua T. Thilaiyalagan tidak pernah kenal atau berjumpa jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang didakwa telah dibunuh pada 30 Ogos 2010 di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Banting, Mahkamah Tinggi diberitahu pada Selasa.

Oleh itu, peguam Gurbachan Singh, yang mewakili Thilaiyalagan, berkata tiada sebab untuk anak guamnya melakukan jenayah serius itu, hanya kerana dia pekerja di ladang milik tertuduh pertama, N. Pathmanabhan, kerana sedar akan hukuman berat jika disabitkan kesalahan membunuh.

"Tidak ada keterangan yang mencukupi atau memadai bahawa empat individu itu sebenarnya telah mati, apatah lagi dibunuh, di ladang itu pada 30 Ogos antara 8.30 malam dan 9.45 malam. "Ia merupakan ramuan paling penting bagi pihak pendakwaan untuk membuktikan keraguan melampaui munasabah. Malah andaian telah mati tidak boleh digunakan di bawah Akta Keterangan 1950 sebelum tempoh tujuh tahun tamat," katanya semasa mengemukakan hujahannya.

Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, antara 8.30 malam dan 9.45 malam 30 Ogos 2010, dan berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Gurbachan seterusnya berhujah dapatan mahkamah pada peringkat prima facie, bahawa empat individu itu dipukul sehingga mati di ladang itu, tidak berdasarkan bukti.

Beliau berkata bukan sahaja kematian empat individu itu perlu dibuktikan sebagai fakta, melampaui sebarang keraguan munasabah, tetapi juga bahawa mereka telah dibunuh di ladang itu pada 30 Ogos, antara 8.30 malam dan 9.45 malam, dengan niat bersama oleh keempat-empat tertuduh.

"Hujahan saya ialah tidak wujud sebarang bukti berhubung niat bersama yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan, juga keterangan yang mahkamah ini boleh dengan penuh yakin mengesahkan wujud niat bersama," katanya.

Mengenai dua nota prosiding melibatkan dua saksi pihak pendakwaan, U. Suresh dan K. Sarawanan, yang dituduh menghapuskan bukti berkaitan kes bunuh itu, Gurbachan berkata kedua-dua eksibit itu tidak mempunyai nilai sahih tetapi hanya mempunyai impak prapenghakiman, terutamanya atas hakikat bahawa Suresh dan Sarawanan langsung tidak dirujuk, atau dikemukakan dengan kedua-dua eksibit semasa diperiksa balas oleh pihak pendakwaan sebagai saksi belot.

Suresh, 29, dan Sarawanan, 22, sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka.

"Malahan sekiranya ia diambil kira demi untuk penghujahan, bahawa nota prosiding itu diterima daripada segi teknikal, tuan hakim yang arif dan bijaksana boleh, demi kepentingan keadilan, mengetepikan isi kandungan kedua-dua eksibit itu demi kepentingan keadilan," katanya.

Mengenai keterangan oleh tertuduh keempat, Kathavarayan, Gurbachan berkata walaupun pasukan pihak pendakwaan tidak bergantung kepada versinya, mahkamah sepatutnya menerima keterangannya kerana ia akan menunjukkan bahawa tidak berlaku jenayah bunuh pada 30 Ogos, seperti didakwa dalam pertuduhan, dan bahawa Sosilawati masih hidup pada 7 September, 2010 sepertimana dilihat oleh tertuduh keempat di sebuah restoran.

Beliau seterusnya berhujah kes pihak pendakwaan ialah bahawa cek RM3 juta telah dikeluarkan kepada Sosilawati untuk transaksi penjualan tanah pada 2010.

Malah, katanya hujahan pihak pendakwaan dan dapatan mahkamah itu sebenarnya adalah tanggapan salah dan tidak kukuh kerana tanah itu telah dijual oleh Sosilawati, iaitu pada 2008 lagi kepada sebuah syarikat, Ample Quality Sdn Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, dalam hujahannya sebelum itu berkata telah dibuktikan bahawa Sosilawati telah pergi ke Banting untuk membincangkan soal tanah dengan Pathmanabhan dan menyegerakan bayaran cek RM3 juta itu untuk membayar bonus staf dan kegunaan peribadinya kerana Hari Raya bakal menjelang.

Beliau berkata setakat 30 Ogos, 2010 (hari Sosilawati dan rakan-rakannya didapati hilang) Pathmanabhan hanya mempunyai RM1.38 juta dalam akaunnya yang tidak cukup untuk melunaskan cek itu, dan motif tidak cukup wang untuk pembayaran cek itu merupakan alasan kukuh untuk membunuh Sosilawati dan rakan-rakannya.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan Khamis ini untuk menyampaikan keputusan. -BERNAMA

Artikel Lain