suria

Gerakan Tidak Akan Tutup Bilik Gerakan di Selangor - Kohilan

PETALING JAYA: Parti Gerakan Selangor tidak akan menutup bilik gerakan mereka di negeri itu walaupun kesemua calon mereka kalah di Selangor pada pilihan raya umum ke-13, kata Pengerusi Gerakan Selangor Senator A. Kohilan Pillay.

"Walaupun kami kalah, kami akan tetap meneruskan perkhidmatan seperti biasa kerana kami sentiasa menghargai pengundi kami dan tidak akan mengecewakan mereka," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Gerakan Selangor tewas kesemua kerusi yang ditandingi mereka pada pilihan raya umum lepas iaitu kerusi Parlimen Puchong dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Teratai, Bukit Lanjan dan Bukit Gasing.

Kohilan berkata walaupun tewas, jumlah pengundi yang menyokong BN di kesemua empat kerusi ditandingi mereka meningkat berbanding pilihan raya umum ke-12 dan ini membuktikan jentera mereka telah memberikan perkhidmatan sepenuhnya tetapi belum cukup kuat untuk memikat pengundi muda dan baharu.

Beliau berkata kekalahan itu berpunca daripada pengundi muda dan pengundi baharu yang mudah terpedaya dengan janji populis pembangkang.

"Bagi kami, apa yang penting, kami jujur kepada pengundi dan jelaskan apa yang kami akan buat dengan pelbagai program transformasi," katanya.

Dalam pada itu, Kohilan berkata pemilihan parti peringkat cawangan, bahagian dan negeri akan diadakan mulai bulan depan sehingga Oktober ini. -BERNAMA

Artikel Lain