suria

Pembangkang Enggan Dikaitkan Demo Guling Kerajaan

PETALING JAYA: Pembangkang mengambil pendirian untuk tidak dikaitkan dengan desakan kumpulan tertentu supaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui protes jalanan secara besar-besaran.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya menegaskan bahawa perhimpunan Pakatan Rakyat yang diadakan di seluruh negara hanya terhad kepada perhimpunan aman yang diwakili oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan.

"Ini hanya cadangan (oleh beberapa NGO agar jatuhkan kerajaan melalui perhimpunan jalanan) tetapi tidak pernah dikemukakan kepada kami. Ia tidak pernah dibincangkan oleh Pakatan, "katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), di sini, Rabu.

Dilaporkan bahawa terdapat NGO yang mengeluarkan cadangan supaya diadakan perhimpunan 'Sejuta Rakyat' Sabtu ini bertujuan menumbangkan kerajaan BN melalui perhimpunan jalanan secara besar-besaran.

Kumpulan itu turut mendakwa perhimpunan itu bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 yang didakwa mereka kononnya tidak telus.

Sementara itu pada sidang media yang sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas pembentukan Kabinet bagi menyiasat dakwaan penyelewengan PRU-13.

"Kami mahu siasatan penuh terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan penyelewengan dan kebimbangan mengenai pilihan raya.

"Kami mencadangkan agar keahlian RCI mesti dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu BN dan Pakatan Raktar dan bukan hanya oleh ahli-ahli kabinet," katanya.

Artikel Lain