suria

Barisan Exco Perak Dijangka Terdiri Gandingan Muka Baru & Lama

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama para Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang hadir pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pada Selasa. -Foto BERNAMA

IPOH: Barisan Exco negeri Perak yang akan diumumkan tidak lama lagi dijangka membariskan gandingan muka baharu dan lama bagi menerajui pentadbiran negeri, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata pengumuman barisan Exco akan dibuat selepas mendapat perkenaan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pandangan dan keputusan yang akan akan dibuat adalah berdasarkan perbincangan bersama. Saya juga dengar pandangan supaya golongan muda atau baharu dapat diketengahkan...ada yang kata kita perlu pertimbangkan yang sudah berpengalaman," katanya pada sidang media di kediaman rasminya selepas majlis angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Kuala Kangsar pada Selasa.

Mengenai kedudukan satu-satunya calon MCA di Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon yang menang pada pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas, Zambry berkata perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti itu.

"Dr Mah mempunyai ciri-ciri yang sangat istimewa. Jika boleh, saya mahu beliau masih berada dalam senarai Exco. Apa-apa pun keputusan, merujuk kepada pucuk pimpinan (MCA)," katanya.

Dr Mah yang sebelum ini ialah Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam mempertahankan kerusi DUN Chenderiang pada pilihan raya umum lepas.

Pada Isnin, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata parti akan menolak sebarang jawatan dalam kerajaan ekoran pencapaian yang layu parti itu pada pilihan raya umum kali ini.

Sementara itu, Zambry berkata beliau dan Exco yang bakal dilantik akan meneruskan pentadbiran dengan baik bagi memastikan keamanan dan kestabilan negeri.

"Kita akan terus gandakan usaha dan memperbaiki segala kelemahan yang ada," katanya sambil menambah agenda pembangunan negeri akn terus dilakukan melalui program Perak Aman Jaya.

Beliau berkata program turun padang yang dilaksanakan sejak beliau menjadi menteri besar sejak empat tahun lepas akan diteruskan. -BERNAMA

Artikel Lain